Saturday 16 July 2011

Kargo Bantuan Kemanusiaan Selamat Tiba Di Gaza

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kargo bantuan kemanusiaan yang membawa paip pembetungan PVC selamat tiba di Gaza menerusi Karem Shalom Rabu lalu setelah berlepas dari Pelabuhan El Arish pada 10 Julai.

Menurut kenyataan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) Jumaat, muatan seberat 32 tan itu dipunggah dari kapal The Spirit of Rachel Corrie, MV Finch, pada 6 Julai ke dalam sembilan trak, tujuh membawa paip pembetungan manakala dua lagi komponen penyambung.

Trak konvoi itu kemudian diiringi dua kereta perisai tentera Mesir (APC) ke El Ouja di sempadan Israel sebelum ia dipindahkan ke treler lain yang ditaja pihak berkuasa Palestin, dengan diiringi Persatuan Bulan Sabit Merah negara berkenaan.

Kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie meninggalkan Pelabuhan Piraeus, Greece pada 11 Mei dengan membawa paip pembetungan PVC dan komponen penyambung bagi membantu memulihkan sistem pembetungan sepanjang 7.5 kilometer yang musnah akibat pengeboman ketika 'Operation Cast Lead' oleh rejim Israel di Gaza dari 27 Dis hingga 18 Jan, antara 2008 dan 2009.

Kapal tersebut kemudian dibenarkan berlabuh di Pelabuhan El Arish pada 5 Julai selepas kebuntuan diselesaikan ekoran pertemuan Presiden PGPF Tun Dr Mahathir Mohamed dengan Perdana Menteri Mesir Dr Essam Sharaf di Kaherah.

PGPF melahirkan penghargaannya kepada Kementerian Luar serta Kedutaan Besar Malaysia di Mesir dan Jordan untuk bantuan serta kerjasama yang dihulurkan sepanjang insiden itu.

0 comments:

Post a Comment

 

Followers

Popular Posts

Adakah anda yakin Imam Mahadi akan muncul dan turunnya Nabi Isa untuk memimpin umat Islam?

SuhaimiRosti Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers