Wednesday 29 June 2011

Isra' dan Mikraj

Assalamualaikum para pembaca yang budiman sekalian. Alhamdulillah dengan berkat dan limpah kurniaNya dapatlah kita hidup sehingga ke hari ini dengan menyedut udara yang diberikan dan dapat melihat betapa indahnya bumi Tuhan ini.

Pada hari ini 29hb. Jun 2011 dan bersamaan 27 Rejab 1432 adalah merupakan suatu hari yang amat bermakna untuk diingati oleh umat Islam yang mana Rasulullah S.A.W pernah di Isra' Mikraj kan oleh Allah S.W.T sebagai tanda kekuasaanNya supaya umat manusia dapat mengambil pelajaran daripadanya.


Peristiwa bersejarah dan penting ini berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah.


Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra' yang bermaksud :"Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat"


Apakah yang dimaksudkan dengan Isra' dan juga mikraj itu? Isra' membawa pengertian perjalanan nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menaiki Burak bermula dari masji al-Haram di Mekah ke masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Manakala Mikraj membawa maksud naiknya nabi s.a.w ke langit dari masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha. 


 Para ulama' hadis, ulama' feqah dan ulama'  tafsir  secara umum menegaskan bahawa perisitiwa isra' dan mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda s.a.w sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan ruh nabi s.a.w bukannya ruh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan " asra bi 'abdihi lailan " yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam.


Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu nabi Muhammad s.a.w yang mana meliputi batang tubuh dan ruhnya serentak bukannya ruhnya sahaja.Jika ia berlaku pada ruhnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi " asra bi ruhi 'abdihi lailan " yang bermaksud memperjalankan ruh hambaNya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hambaNya iaitu nabi s.a.w dalam keadaan tubuh dan ruhnya serentak.


InsyaAllah marilah kita sama-sama menghayati lirik lagu nasyid dari kumpulan Hijjaz, In-Team, UNIC,  dan Mestica ini mengenai peristiwa Isra' dan Mikraj. Semoga kita dapat mengambil sesuatu yang bermanfaat daripadanya.



  

0 comments:

Post a Comment

 

Followers

Popular Posts

Adakah anda yakin Imam Mahadi akan muncul dan turunnya Nabi Isa untuk memimpin umat Islam?

SuhaimiRosti Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers